Laman Web Rasmi
Kementerian Perusahaan
Perladangan dan Komoditi
(MPIC)

A- A A+
Arial | PT Sans | Century


http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/eksport-produk-komoditi-meningkat-1.703434
Sumber: Sinar Harian


 
Siew Keong (duduk kanan) turut melakukan pemeriksaan kesihatan semasa Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Daerah Hilir Perak bersama Pusat Transformasi Komuniti Bergerak (Mobile CTC) di Perkarangan Menara Condong Teluk Intan.
TELUK INTAN - Nilai eksport produk berasaskan komoditi negara sehingga Mei tahun ini mencatatkan peningkatan sebanyak 27.1 peratus bersamaan RM59.1 bilion berbanding RM46.5 bilion tempoh sama tahun lalu.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, kenaikkan nilai eksport tersebut membuktikan beberapa inisiatif yang diambil kementeriannya berjaya membuahkan hasil.
"Walaupun ekonomi dunia ada kalanya naik dan jatuh, tetapi kita berjaya meningkatkan nilai eksport produk berasaskan komiditi sehingga Mei tahun ini.
"Eksport industri berasaskan kelapa sawit merupakan penyumbang terbesar kepada peningkatan nilai eksport keseluruhan dengan peningkatan sebanyak 31.54 peratus bersamaan RM32.3 bilion berbanding RM24.5 bilion tempoh sama tahun lalu,"  katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Daerah Hilir Perak bersama Pusat Transformasi Komuniti Bergerak (Mobile CTC) di Perkarangan Menara Condong Teluk Intan, hari ini.
Mengulas lebih lanjut, Siew Keong berkata, eksport industri getah menduduki tangga kedua sebagai penyumbang terbesar peningkatan nilai keseluruhan  sebanyak RM14 bilion berbanding RM9.8 bilion tempoh sama tahun lalu.
"Dua lagi eksport komoditi yang turut mencatat kenaikkan adalah  industri koko dan industri perkayuan dengan masing-masing mencatat kenaikan sebanyak 9.10 peratus bernilai RM2.4 bilion dan 6.76 peratus bernilai RM9.7 bilion sehingga Mei tahun ini.
"Manakala eksport lada hitam dan kenaf (tobacco) masing-masing mencatatkan penurunan peratusan eksport sebanyak 8.64 peratus dan 21.29 peratus sehingga Mei tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas," katanya.
Sementara itu,  penganjuran Mobile CTC di Teluk Intan semalam melibatkan pelbagai agensi dan jabatan seperti  Institut Jantung Negara (IJN), JobsMalaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Tabung Haji, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA).